Wednesday, April 1, 2009

MENJADI FASILITATOR UNGGUL!


Assalamu'alaikum! Semoga 'abang-abang' & 'kakak-kakak' fasi serta sahabat-sahabat di luar sana sentiasa 'maintain' ceria, hebat & unggul hendaknya! (^^)v

Nampaknya sejak selesai Kem Kepimpinan & Organisasi (KEMUDI) di SMK Seksyen 10 Kota Damansara, saya jadi sunyi sebentar dari idea & ilham untuk dicoretkan di ruangan ini. Alhamdulillah, secara keseluruhan perjalanan kem ini memuaskan, mendapat respon yang begitu positif & menggalakkan dari peserta & guru. Pada saya, program kali ini benar-benar menguji & mencabar kredibiliti kami selama menceburkan diri dalam dunia fasilitator ini. Hampir 2/3 daripada fasi yang mengendalikan program kali ini terdiri daripada 'first timer', atau pun ahli baru. TAHNIAH buat ahli baru EMPIRE.FC!

Teringin untuk berkongsi sedikit ilmu & pengalaman dengan ahli-ahli baru EMPIRE.FC, moga-moga ilmu & pengalaman yang tak seberapa daripada seorang fasi senior ni ada manfaatnya...hehe....

Menjadi seorang fasilitator yang unggul tidaklah sukar sangat, & tidak juga semudah yang disangkakan. Sebelum nak jadi fasi yang unggul, pertama sekali kita perlu,wajib ada dalam diri kita adalah : MINAT yang mendalam, KOMITM
EN yang tinggi, & IKHLAS!! Ketiga-tiga unsur ini mesti ada dalam diri terlebih dahulu, sesudah itu barulah boleh kita serapkan unsur-unsur positif yang lain sebagai nilai tambah sebagai seorang fasi yang unggul.

Ada beberapa ciri yang perlu diambil perhatian. 4 ciri utama sebagai fasilitator unggul : BAIK

1) B - Baik (sentiasa pegang watak baik - senyum, ramah, disenangi adik-adik peserta)

2) A - Amanah (sentiasa jujur & ikhlas - jangan tipu/kelentong adik-adik peserta kalau kita tak tahu, lebih baik kita jawab "maaf, abang/kakak tak pasti...biar abang/kakak rujuk dengan cikgu/ustaz/pensyarah (sesiapa yang lebih pakar)". Jadi role-model kpd peserta ; fasi amalkan apa yang fasi cakap/nasihat...barulah adik-adik hormat & nak ikut kita.)

3) I - Ilmu (fasi mestilah berilmu & cintakan ilmu)

4) K - Kelakar (sedikit-sebanyak fasi mesti ad
a sifat humor, kalau tak adik-adik peserta cepat bosan untuk dengar celoteh kita. Apa yang penting, dengan adanya sifat humor boleh merapatkan jurang antara fasi & peserta)

Sekarang, kita berbicara pula tentang personaliti seorang fasilitator yang ung
gul. Ada banyak sebenarnya personaliti fasi yang unggul tapi saya pilih 6 personaliti berkesan yang terbaik & mudah untuk dipraktikkan oleh fasi baru.

1) JUJUR
  • Tulen & tidak berpura-pura
  • Tunjukkan minat dalam membantu peserta dari segi fizikal & emosi

2) EMPATI

  • Memahami orang lain (peserta) dari sudut pandangan mereka
  • Sifat empati sangat penting, ia ibarat suis yang berada dalam keadaan 'OFF' di dalam hati adik-adik peserta. Tugas fasi adalah untuk petik suis tu kepada keadaan 'ON'. Apabila mereka merasakan kita faham jiwa & perasaan mereka, insyaallah dengan mudah mereka akan buka pintu hati mereka untuk menerima diri kita, ilmu yang ingin kita sampaikan dsb.
3) TERBUKA
  • Menerima tanpa syarat
  • Memahami & menerima kepelbagaian & perbezaan budaya, agama, adat & jantina
4) MESRA
  • Personaliti mesra & prihatin terhadap perubahan emosi orang lain
  • Menggunakan humor (berjenaka)
5) PENYAYANG
  • Sifat mengambil berat & bersedia membantu
6) KESOPANAN
  • Menjadi role-model kepada orang lain
  • Buat/amalkan apa yang dikatakan
Seterusnya untuk menjadi fasilitator unggul, jangan sesekali langgar pantang-larang berikut :

  • Jangan dedahkan kepada peserta (sama ada dalam bentuk perkataan/perbuatan/mimik muka) bahawa kita tidak bersedia/tak cukup persediaan walaupun hakikatnya kita memang tak bersedia.
    Contoh situasi yang biasa berlaku kepada fasi : apabila pihak sekolah meminta kita menjadi MC majlis perasmian penutup 15 minit sebelum majlis bermula (saya pernah alami situasi ini...lucu...tersasul-sasul saya bercakap), atau pun ketika pihak sekolah meminta kita mengubah modul/isi kandungan program secara tiba-tiba (sebab itu mesti ada 'backup module'), atau pun paling mengharu-birukan saat pihak sekolah beritahu fasi bahawa program berubah (contohnya dari program kem ibadah kepada program motivasi & kecemerlangan akademik...yang ini pun saya pernah alami. Memang haru-biru!) & macam-macam lagi situasi yang kita tak jangka langsung. Jangan panik! Masa inilah fasi mesti bersikap profesional & bersedia melaksanakan tugasan walaupun tak bersedia.

  • Jangan menghukum peserta (fasi bukan ibu bapa/guru). Cukuplah adik-adik peserta kena 'hentam' di rumah & di sekolah. Memanglah peserta ni jadi manja terlebih dengan abang/kakak fasi ketika program sehingga mencabar kesabaran fasi. Pada masa inilah kita kena bijak menggunakan daya kreativiti kita untuk memancing perhatian peserta, menegur/menasihat/marah dengan cara yang halus sehinggakan peserta sendiri tak sedar kita tengah marah. Biasanya cara ini amat berkesan & peserta boleh dengar kata kita tanpa terasa hati dengan kita. Ingat! Emosi peserta (remaja) sangat sensitif, fasi mesti prihatin & berhati-hati dengan setiap perkataan yang diluahkan kepada peserta.
  • Jangan benarkan emosi kita mempengaruhi tindak-tanduk kita. Fasi pun manusia biasa juga. Kadang-kadang sebelum menghadiri program, kita sendiri sedang serabut dengan masalah kita sendiri, assignment yang tak siap lagi, perlu ulangkaji untuk ujian pada minggu depan, pembentangan & lab practical yang memeningkan kepala, belum lagi masalah keluarga & masalah peribadi yang timbul tiba-tiba. Kalau boleh jangan sampai segala masalah ini mempengaruhi emosi & tindakan kita. Fasi mesti profesional! Kalau rasa tak boleh juga nak kawal diri, minta bantuan fasi lain untuk ambil alih tugas kita. Itu lebih baik dari menjadikan adik-adik peserta sebagai mangsa kepada kegagalan kita mengawal emosi sendiri.
  • Mesti ikhlas untuk bantu adik-adik peserta. Ada sebilangan fasi mengeluh apabila mendapat bayaran yang sedikit, tak berbaloi dengan penat-lelah sepanjang program. Ada juga fasi yang tergamak menarik diri pada saat-saat akhir apabila tahu mereka takkan dibayar. Memanglah fasi ada hak untuk menuntut bayaran atas khidmat mereka, tapi saya nasihatkan awal-awal walau apa pun yang kita lakukan biarlah ikhlas untuk membantu & membimbing adik-adik peserta (saya sendiri pun sudah banyak kali mengendalikan program & tak dibayar. Kadang-kadang kita pula yang perlu keluarkan duit poket sendiri untuk kos pengangkutan. Tapi saya tak ambil peduli sangat walaupun kadang-kadang rasa ralat juga dengan sesetengah pihak penganjur/konsultan yang nak untung lebih ni). Apa yang penting, jika kita ikhlas berikan 'hati' kita kepada adik-adik peserta, mereka pasti akan membalasnya kembali dengan memberikan 'hati' mereka & mempercayai kita untuk membimbing mereka.


Nampak mudah saja, bukan? Haha...AWAS! Mudah dalam bentuk teori tapi sukar untuk dipraktikkan terutama dalam situasi-situasi tertentu yang mencabar daya tahan kita sebagai seorang fasilitator. Setakat ini dulu perkongsian ilmu dari saya. Buat anda yang berminat menjadi fasilitator, bolehlah mengajukan sebarang persoalan dalam ruangan 'chatbox' yang disediakan. Selamat maju jaya!! (^^)v

Friday, March 6, 2009

PROJEK TERBARU!

Kembali semula! Emm...agak lama juga EMPIRE.FC tak dapat projek dari pihak sekolah. Mungkin sebab masih di awal tahun, memang jarang ada program pada 3 bulan pertama setiap tahun. Bulan lalu (pertengahan Februari), saya menerima sebuah panggilan dari seorang guru dari sekolah yang tak asing lagi bagi EMPIRE.FC, iaitu SMK Seksyen 10 Kota Damansara (our preciously regular client). Cuma kali ini guru yang berbeza pula, iaitu Cikgu Fara Munirah. Apa yang paling penting, pada kali ini juga merupakan projek sulung yang diuruskan sepenuhnya oleh EMPIRE.FC. Pihak sekolah hanya bayar yuran mengikut pakej & serahkan bulat-bulat kepercayaan mereka kepada pihak kami untuk menguruskan sepenuhnya program akan datang. Berikut adalah maklumat lanjut berkaitan projek terkini :

Nama Program : Kem Kepimpinan dan Organisasi (KEMUDI)

Nama Klien : SMK Seksyen 10 Kota Damansara

Tarikh Program : 13 - 15 Mac 2009 (Jumaat - Ahad)

Sasaran Peserta : Ahli Lembaga Pengawas SMK Seksyen 10 Kota Damansara (dianggarkan 120 orang peserta dari Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5)

Tujuan Program : Kem Kepimpinan dan Organisasi (KEMUDI) diadakan bertujuan untuk memberikan pendedahan dan pengetahuan asas berkaitan kepimpinan dan organisasi kepada pemimpin khususnya ahli lembaga pengawas melalui latihan secara praktikal sepanjang program.

Fasilitator : 10 orang (termasuk Kem Komander)

Setakat ini, segala gerakerja dilaksanakan oleh saya dan Noor Hidayah Md Noor (Timb. Presiden EMPIRE.FC), dibantu oleh Khairul Amilin Abd Kadir (Presiden EMPIRE.FC), Khairunnisa (Setiausaha EMPIRE.FC) dan beberapa orang ahli yang lain.

Pada Jumaat lalu (27 Februari 09), saya dan Noor Hidayah bersama-sama pergi ke sekolah tersebut menemui Cikgu Munirah untuk perbincangan lanjut. Alhamdulillah, perbincangan berjalan lancar dan berakhir dengan baik (pihak sekolah sangat berpuas hati dengan pembentangan kami).

Hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi sebelum hari program, gerakerja sudah memasuki fasa akhir persiapan. Semoga segala perancangan yang kami buat dapat dilaksanakan dengan lancar dan mendapat pertolongan dari Allah. Amin....(^^)v

Tuesday, February 24, 2009

Jamuan Makan Tengahari Empayar Fasilitator


Pada hari Ahad, 22 Februari 2009, Kelab Empayar Fasilitator PMIUM telah menganjurkan Jamuan Makan Tengahari (JMT) bertempat di Rumah Universiti, Universiti Malaya. Jamuan ini diadakan adalah bertujuan untuk meraikan ahli-ahli kelab & mantan MT atas komitmen & sumbangan mereka kepada kelab. Di samping itu juga, jamuan ini bertujuan untuk mengumumkan secara rasmi perletakan jawatan barisan kepimpinan sesi lepas seterusnya membuat perlantikan rasmi barisan kepimpinan kelab yang baru. Sebenarnya sejak semester lepas lagi barisan kepimpinan kelab sudah merancang untuk mengadakan majlis sebegini bagi meraikan ahli-ahli kelab yang komited & banyak berjasa kepada kelab, namun terpaksa ditunda beberapa kali atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan. Walaupun tidak ramai yang hadir pada JMT kali ini, namun kemeriahan & kemesraan di kalangan ahli tetap terasa. Berharap barisan MT baru di bawah kepimpinan Sdr. Khairul Amilin Abdul Kadir & Sdri. Noor Hidayah Md Noor dapat memacu kelab fasilitator ini dengan lebih baik berbanding sebelumnya.

Sesi pemberian cenderamata penghargaan kepada mantan MT kelab :
Sdr. Khairul Amilin (presiden kelab) & Sdr. Firdaus (mantan presiden)

Sdri. Nora (mantan Setiausaha) tersenyum lebar menerima
cenderamata...


Sdri. Arniwaty (satu-satunya mantan MT '1st batch' & perintis pertama kelab)
Terima kasih Arniwaty atas kehadiran anda!!


Hmm...apa yang sedang dibualkan tu?
(Sdri. Hidayah (T/Presiden) & Sdri. Khairunnisa (Bendahari))

4 orang mantan MT dari 2 generasi bergambar kenangan
duduk dari kiri : Sdri. Julia (mantan T/Presiden) & Sdri. Arniwaty (mantan Bendahari generasi 1)
belakang dari kiri : Sdri. Marhamah (mantan Bendahari) & Sdri Nora (mantan Setiausaha)


Senyum sokmo!!
dari kiri : Sdri. Fathonah, Sdri. Marhamah & Sdri. Nora


Amboi, nampak sedap je lauk tu!!
Sdr. Alias (mantan exco)


Jemput makan semua!!
dari kiri : Sdr. Khairul Amilin & Sdr. Azim


Barisan "Abang fasi"
depan dari kiri : Sdr. Azim, Sdr. Shahidan, Sdr. Alias
belakang dari kiri : Sdr. Redzuan @ Abg. Teh, Sdr. Karim, Sdr. Firdaus & Sdr. Khairul Amilin


Barisan "Kakak Fasi"
depan dari kiri : Sdri. Safiyah H.K., Sdri. Siti Safiah, Sdri. Hidayah
belakang dari kiri : Sdri. Marhamah, Sdri. Nora, Sdri. Fathonah,
Sdri. Julia, Sdri. Arniwaty, Sdri. Khairunnisa


EMPIRE.FC 09/10

Mengapa Yahudi bijak

Palestin...Apa Yang Dapat Kami Bantu
www.iLuvIslam.com
Ustaz Mohd Zul bin Roslan*
editor : Iskethaykal



Sebenarnya kisah Palestin tenggelam dan timbul kerana banyak isu lain yang lebih diutamakan di dalam akhbar-akhbar dan media massa. Sehinggalah beberapa hari ini Israel semakin mengganas dan membunuh lebih 300 orang Palestin.

Apa hebatnya Palestin sehingga semua umat Islam perlu mengambil cakna kepadanya?

Palestin dianggap tanah suci umat Islam berdasarkan firman Allah swt yang bermaksud :

"Wahai kaumku! Masuklah kamu ke tanah suci yang telah Allah swt perintahkan bagi kamu sekalian."
(Surah al-Maidah : ayat 21)


Palestin adalah tanah yang diberkati Allah. Firman Allah swt yang bermaksud :

" Maha suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya pada satu malam dari Masjid al-Haram ke Masjid al-Aqsa yang telah kami berkati di sekelilingnya.
(Surah al-Isra' : ayat 1)

Firman-Nya lagi yang bermaksud :

" Dan telah Kami tundukkan untuk Sulaiman angin yang sangat kencang tiupannya yang berhembus dengan perintah-Nya ke negeri yang telah Kami memberkatinya. Dan adalah Kami Maha Mengetahui segala sesuatu."
(Surah al-Anbia' : ayat 80)

Di tanah itu terdapat Masjid al-Aqsa yang merupakan kiblat umat Islam yang pertama sebelum ditukar ke Masjidil Haram menghadap Kaabah. Rasulullah saw telah bersabda yang bermaksud :
" Tidak digalakkan mengambil berat dalam pengembaraan kecuali kepada 3 masjid : Masjid al-Haram, masjid ini (Masjid Nabawi) dan Masjid al-Aqsa." (Riwayat Bukhari, Muslim, Ibnu Majah dan Abu Daud)

Di bumi ini, terdapat ramai pesuruh Allah swt yang diutuskan di antaranya adalah Nabi Ibrahim, Nabi Ismail, Nabi Ishak dan Nabi Luth. Di sini juga adalah bumi Nabi Muhammad saw diisra'kan.

Allahu... Allah...



Bangunlah Wahai Pahlawan Islam

Bumi ini pernah diperintah oleh Kristian selama beberapa ketika dan akhirnya jatuh ke tangan pahlawan Islam yang terkenal iaitu Salahuddin al-Ayyubi, seorang pemuda bangsa Kurdi, bukan berbangsa Arab. (Sesiapa yang berjuang di atas nama Islam, pasti Allah akan tingkatkan darjatnya)

British telah mengisytiharkan penubuhan negara haram Yahudi menerusi Perjanjian Balfour pada 2 November 1917 dan mendapat persetujuan Amerika Syarikat pada 31 Ogos 1918.

Pelajar Melayu yang belajar di Mesir pernah berjuang dengan menubuhkan Persekutuan Putera-Putera Semenanjung (PPS) yang kemudiannya ditukar nama kepada Persekutuan Melayu Mesir (1952) dan akhirnya nama yang terakhir adalah Persekutuan Melayu Republik Mesir, PMRAM (1971) bersama-sama kerajaan Mesir pada masa itu untuk memerangi tentera Israel yang bergabung dengan Perancis dan British. Pada 29 Oktober 1956, di atas semangat persaudaraan Islam, PMRAM telah menyertai tentera Mesir memerangi tentera musuh hingga ke perbatasan Suez. Para pelajar yang tidak berkeupayaan menyertai jihad ini telah memberi sumbangan dengan menderma darah. Golongan siswi pula tidak ketinggalan memberikan sumbangan menerusi khidmat menjahit pakaian tentera.

Mereka Saudara Kita

Dan kini bumi Palestin telah digemparkan sekali lagi dengan peristiwa pembunuhan yang seolah-olah tidak akan sampai ke penghujungnya sehinggalah Yahudi melalui Israel Zionis menguasai setiap inci tanah Palestin. Namun yang perlu kita fikirkan adalah nasib saudara-saudara seIslam yang terkorban dan al-Aqsa di bawah penguasaan Israel Zionis.

Apa yang dapat kami bantu wahai saudaraku...

1. Sekiranya anda seorang guru, ustaz, penceramah, rakan-rakan yang sedar dan cintakan saudara seIslam serta al-Aqsa, sampaikanlah kepada mereka akan kepentingan Palestin, Masjidil Aqsa serta semaikan di jiwa mereka kisah pahlawan Islam dan penderitaan saudara kita di sana. Sesungguhnya kita ini disatukan dengan kalimah La ila ha illaAllah.

2. Sekiranya anda berkemampuan dari segi kewangan maka bolehlah menderma di sini.

3. Sampaikan berita-berita terkini mengenai Palestin dan umat Islam di negara lain melalui emel, YahooGroup, SMS, MMS, majalah dan sebagainya sebagai medium penyampaian untuk memberi kesedaran kepada umat Islam dan rakyat Malaysia tentang penderitaan rakyat Palestin.

4. Anda boleh berusaha untuk memboikot barangan atau pengeluar yang membantu Israel dalam membangunkan ekonomi dan membunuh umat Islam di Palestin.



5. Sekiranya anda seorang penulis, wartawan, kolumnis atau seorang yang mempunyai kesedaran tentang pentingnya menyelamatkan tanah Palestin, al-Aqsa dan umat Islam, silalah untuk menulis surat, menulis artikel dan petisyen. Mudah-mudahan dengan usaha ini, ada di antara mereka yang berkuasa dan benar-benar sayangkan Islam akan memanjangkannya kepada pihak atasan, kedutaan dan lebih dari itu, OIC.

6. Sekiranya anda seorang penulis blog, admin web, pereka grafik yang kreatif membuat widget, bolehlah memaparkannya di blog dan web masing-masing. Anda disarankan juga untuk memakai baju "Bebaskan Palestin".

7. Jangan lupa untuk mendoakan mereka di Palestin, juga untuk para pejuang Islam yang sedang berjuang di negara masing-masing.

Mudah-mudahan dengan usaha kecil kita ini dapat meringankan beban penderitaan umat Islam di Palestin. Dan Allah memandang kita sebagai Muslim yang telah berusaha untuk membantu saudara-saudaranya...InsyaAllah.

Sumber Rujukan :

1. Professor Madya Dr Mohsen M Salleh, Isu Palestin, Latarbelakang dan Kronologi Perkembangannya sehingga tahun 2000, 2001, Fajar Ulung, Kuala Lumpur.

2. Abdullah Nasir Ulwan, Pejuang Pembaharuan Salahuddin al-Ayyubi, Cetakan Pertama 1999, Darul Nuqman,
Kuala Lumpur

3. Ibnu Ismail, Nostalgia Syuhada' Palestin. Cetakan Pertama 2003, al-Qassam Library, Pahang.