Nampaknya sejak selesai Kem Kepimpinan & Organisasi (KEMUDI) di SMK Seksyen 10 Kota Damansara, saya jadi sunyi sebentar dari idea & ilham untuk dicoretkan di ruangan ini. Alhamdulillah, secara keseluruhan perjalanan kem ini memuaskan, mendapat respon yang begitu positif & menggalakkan dari peserta & guru. Pada saya, program kali ini benar-benar menguji & mencabar kredibiliti kami selama menceburkan diri dalam dunia fasilitator ini. Hampir 2/3 daripada fasi yang mengendalikan program kali ini terdiri daripada 'first timer', atau pun ahli baru. TAHNIAH buat ahli baru EMPIRE.FC!
Teringin untuk berkongsi sedikit ilmu & pengalaman dengan ahli-ahli baru EMPIRE.FC, moga-moga ilmu & pengalaman yang tak seberapa daripada seorang fasi senior ni ada manfaatnya...hehe....
Menjadi seorang fasilitator yang unggul tidaklah sukar sangat, & tidak juga semudah yang disangkakan. Sebelum nak jadi fasi yang unggul, pertama sekali kita perlu,wajib ada dalam diri kita adalah : MINAT yang mendalam, KOMITMEN yang tinggi, & IKHLAS!! Ketiga-tiga unsur ini mesti ada dalam diri terlebih dahulu, sesudah itu barulah boleh kita serapkan unsur-unsur positif yang lain sebagai nilai tambah sebagai seorang fasi yang unggul.
Ada beberapa ciri yang perlu diambil perhatian. 4 ciri utama sebagai fasilitator unggul : BAIK
1) B - Baik (sentiasa pegang watak baik - senyum, ramah, disenangi adik-adik peserta)
2) A - Amanah (sentiasa jujur & ikhlas - jangan tipu/kelentong adik-adik peserta kalau kita tak tahu, lebih baik kita jawab "maaf, abang/kakak tak pasti...biar abang/kakak rujuk dengan cikgu/ustaz/pensyarah (sesiapa yang lebih pakar)". Jadi role-model kpd peserta ; fasi amalkan apa yang fasi cakap/nasihat...barulah adik-adik hormat & nak ikut kita.)
3) I - Ilmu (fasi mestilah berilmu & cintakan ilmu)
4) K - Kelakar (sedikit-sebanyak fasi mesti ada sifat humor, kalau tak adik-adik peserta cepat bosan untuk dengar celoteh kita. Apa yang penting, dengan adanya sifat humor boleh merapatkan jurang antara fasi & peserta)
Sekarang, kita berbicara pula tentang personaliti seorang fasilitator yang ung gul. Ada banyak sebenarnya personaliti fasi yang unggul tapi saya pilih 6 personaliti berkesan yang terbaik & mudah untuk dipraktikkan oleh fasi baru.
1) JUJUR
- Tulen & tidak berpura-pura
- Tunjukkan minat dalam membantu peserta dari segi fizikal & emosi
- Memahami orang lain (peserta) dari sudut pandangan mereka
- Sifat empati sangat penting, ia ibarat suis yang berada dalam keadaan 'OFF' di dalam hati adik-adik peserta. Tugas fasi adalah untuk petik suis tu kepada keadaan 'ON'. Apabila mereka merasakan kita faham jiwa & perasaan mereka, insyaallah dengan mudah mereka akan buka pintu hati mereka untuk menerima diri kita, ilmu yang ingin kita sampaikan dsb.
- Menerima tanpa syarat
- Memahami & menerima kepelbagaian & perbezaan budaya, agama, adat & jantina
- Personaliti mesra & prihatin terhadap perubahan emosi orang lain
- Menggunakan humor (berjenaka)
- Sifat mengambil berat & bersedia membantu
- Menjadi role-model kepada orang lain
- Buat/amalkan apa yang dikatakan
- Jangan dedahkan kepada peserta (sama ada dalam bentuk perkataan/perbuatan/mimik muka) bahawa kita tidak bersedia/tak cukup persediaan walaupun hakikatnya kita memang tak bersedia.
- Jangan menghukum peserta (fasi bukan ibu bapa/guru). Cukuplah adik-adik peserta kena 'hentam' di rumah & di sekolah. Memanglah peserta ni jadi manja terlebih dengan abang/kakak fasi ketika program sehingga mencabar kesabaran fasi. Pada masa inilah kita kena bijak menggunakan daya kreativiti kita untuk memancing perhatian peserta, menegur/menasihat/marah dengan cara yang halus sehinggakan peserta sendiri tak sedar kita tengah marah. Biasanya cara ini amat berkesan & peserta boleh dengar kata kita tanpa terasa hati dengan kita. Ingat! Emosi peserta (remaja) sangat sensitif, fasi mesti prihatin & berhati-hati dengan setiap perkataan yang diluahkan kepada peserta.
- Jangan benarkan emosi kita mempengaruhi tindak-tanduk kita. Fasi pun manusia biasa juga. Kadang-kadang sebelum menghadiri program, kita sendiri sedang serabut dengan masalah kita sendiri, assignment yang tak siap lagi, perlu ulangkaji untuk ujian pada minggu depan, pembentangan & lab practical yang memeningkan kepala, belum lagi masalah keluarga & masalah peribadi yang timbul tiba-tiba. Kalau boleh jangan sampai segala masalah ini mempengaruhi emosi & tindakan kita. Fasi mesti profesional! Kalau rasa tak boleh juga nak kawal diri, minta bantuan fasi lain untuk ambil alih tugas kita. Itu lebih baik dari menjadikan adik-adik peserta sebagai mangsa kepada kegagalan kita mengawal emosi sendiri.
- Mesti ikhlas untuk bantu adik-adik peserta. Ada sebilangan fasi mengeluh apabila mendapat bayaran yang sedikit, tak berbaloi dengan penat-lelah sepanjang program. Ada juga fasi yang tergamak menarik diri pada saat-saat akhir apabila tahu mereka takkan dibayar. Memanglah fasi ada hak untuk menuntut bayaran atas khidmat mereka, tapi saya nasihatkan awal-awal walau apa pun yang kita lakukan biarlah ikhlas untuk membantu & membimbing adik-adik peserta (saya sendiri pun sudah banyak kali mengendalikan program & tak dibayar. Kadang-kadang kita pula yang perlu keluarkan duit poket sendiri untuk kos pengangkutan. Tapi saya tak ambil peduli sangat walaupun kadang-kadang rasa ralat juga dengan sesetengah pihak penganjur/konsultan yang nak untung lebih ni). Apa yang penting, jika kita ikhlas berikan 'hati' kita kepada adik-adik peserta, mereka pasti akan membalasnya kembali dengan memberikan 'hati' mereka & mempercayai kita untuk membimbing mereka.
0 comments:
Post a Comment